Nama sebenar beliau adalah ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Jarrah al Fihri
al. Abu ‘Ubaidah seorang yang memiliki wajah yang berseri, kacak, tinggi
lampai, kurus dan berjambang nipis. Beliau mudah mesra yakni pandai
berkawan, tawaduk dan pemalu. Namun di saat yang genting beliau bagaikan
singa. Beliau disimpulkan sebagai mata pedang yang cantik, berkilau,
tajam dan runcing.
Abu ‘Ubaidah tergolong di dalam golongan yang paling awal memeluk Islam.
Abu ‘Ubaidah memeluk Islam sehari selepas pengislaman Abu Bakar dan ini
adalah hasil daripada dakwah Abu Bakar kepada Abu ‘Ubaidah.
Abu ‘Ubaidah bersama-sama ‘Abdul Rahman bin ‘Auf,’Uthman bin Maz’un dan
al-Arqam bin Abi al-Arqam telah mengucapkan syahadah di hadapan
Rasulullah.
Jadi Abu ‘Ubaidah adalah golongan yang bersama Rasulullah dari awal
hingga akhir perjuangan mereka di Makkah. Seperti mana yang kita
ketahui, pada waktu itu mereka ditimpa pelbagai seksaan disebabkan
menganut agama yang dibawa oleh Nabi.
Ketika peperangan badar terjadi, Abu ‘Ubaidah
menyerang musuh dengan begitu hebat sekali dengan perwatakan pahlawan
yang tidak takutkan mati. Perwatakan beliau telah menggerunkan tentera Musyrikin sehingga mengebabkan tentera berkuda mereka berwaspada apabila
bertembung dengan beliau dan cuba mengelak daripada bertempur
dengannya.
Dalam bilangan tentera Quraisy yang
ramai itu, ada seorang yang benar-benar ingin bertempur dengan Abu
‘Ubaidah. Dalam keadaan ini, Abu ‘Ubaidah pula yang cuba mengelak
daripada bertempur dengan lelaki Quraisy tersebut. Setiap serangan oleh
lelaki itu, Abu ‘Ubaidah mengelak dengan segera. Lelaki itu tidak
berputus asa dan dia menyekat jalan Abu ‘Ubaidah dengan menghunuskan
pedang kearah Abu ‘Ubaidah.
Kita semua tahu pada awal peperangan
Uhud umat islam ‘tewas’ akibat tidak mendengar arahan daripada
Rasulullah. Tentera Musyrikin semakin mengganas dan juru laung mereka
berteriak “Tunjukkan saya mana Muhammad!!! Tunjukkan saya mana
Muhammad!!!”
Pada saat itu, Abu ‘Ubaidah salah
seorang sahabat yang melindungi Rasulullah. Mereka mempertahankan Nabi
seolah-oleh dada dan tubuh mereka menjadi tembok dan banteng penghalang
panah dan tombak musuh.
Apabila peperangan tamat, gigi kacip
Rasulullah patah, kulit dahinya terkoyak dan dua mata rantai baju
perisai Baginda terbenam di pipinya. Abu Bakar datang untuk mencabutnya
namun Abu ‘Ubaidah berkata “Saya bersumpah kepadamu, biarlah saya yang
mencabutnya.”
Lalu Abu Bakar berundur. Abu ‘Ubaidah
bimbang jika dicabutnya mata rantai itu dengan tangan ia akan
menyakitkan Rasulullah. Lalu beliau mencabutnya dengan gigi kacipnya.
Beliau menggigit kuat mata rantai yang pertama dan mencabutnya dengan
perlahan sehingga mata rantai itu tercabut dan mengakibatkan giginya
lerai ke bumi. Abu ‘Ubaidah melakukan perkara yang sama untuk mencabut
mata rantai yang kedua dan sekali lagi gigi kacipnya terlerai jatuh ke
bumi.
Abu Bakar berkata “Abu ‘Ubaidah merupakan manusia rongak paling baik”
Pada zaman Khalifah ‘Umar al-Khattob
memerintah, Abu ‘Ubaidah diutuskan ke Syam untuk memimpin bala tentera
Islam. Dengan Izin Allah tentera Islam dapat menawan seluruh bumi Syam.
Ketika itu tentera Islam sampai ke tepi sungai Furat di sebelah timur
dan Asia Minor di sebelah utara.
Dalam pada masa yang sama, Syam sedang
dilanda wabak taun yang tidak pernah berlaku sebegitu teruk sebelum ini.
Ramai nyawa yang terkorban akibat mengidap penyakit itu. Mendengar
situasi tersebut, Khalifah menghantar utusan untuk bertemu Abu ‘Ubaidah
dan di dalam perutusan itu Khalifah berkata “ Nampaknya saya mempunyai
satu urusan yang amat memerlukan bantuan kamu. Saya tidak dapat
menyelesaikannya tanpa kamu. Jika perutusan saya ini sampai kepadamu
pada waktu malam, sebelum subuh hendaklah kamu berangkat bertemu saya.
Jika perutusan ini sampai pada waktu siang, sebelum petang hendaklah
kamu berangkat bertemu saya.”
Abu ‘Ubaidah berkata selepas membaca
perutusan Khalifah “Saya tahu tujuan Amirul Mukminin terhadap saya.
Beliau ingin saya terus hidup sedangkan tiada siapa yang boleh kekal
hidup.”
“Wahai Amirul Mukminin, saya sedia
maklum permintaanmu terhadap saya. Sesungguhnya saya merupakan
sebahagian anggota tentera Islam. Oleh itu saya tidak ingin menjaga diri
saya daripada bencana (taun) yang telah menimpa mereka. Saya tidak akan
berpisah meninggalkan mereka sehingga Allah membuat keputusan-Nya untuk
menyelamatkan saya dan mereka. Sama ada Dia mencabut nyawa atau
menyelamatkan kami. Maka apabila surat ini sampai kepadamu, gugurkanlah
tuntutanmu terhadap saya. Izinkan saya untuk terus kekal di sini.” Balas
Abu ‘Ubaidah kepada utusan Khalifah.
Tatkala ‘Umar membaca surat tersebut,
air mata beliau mengalir. Lalu para sahabat yang ada bersama beliau
bertanya “ Apakah Abu ‘Ubaidah telah meninggal dunia wahai Amirul
Mukminin?”
“Tidak, namun beliau hampir menemui kematian” jawab ‘Umar teresak-esak.
Jangkaan ‘Umar tidak meleset. Setelah
beberapa ketika Abu ‘Ubaidah diserang penyakit Thaun. Sedang beliau
nazak, beliau berpesan kepada tentera-tenteranya.
“Saya berpesan kepada kamu semua, jika
kamu menerimanya, kamu akan sentiasa memperoleh kebajikan. Dirikanlah
sembahyang, tunaikanlah zakat, berpuasalah di bulan Ramadhan,
bersedekahlah, tunaikan Haji dan Umrah, salinglah berpesan dan memberi
nasihat kepada pemimpinmu. Jangan kamu memperdayakan mereka. Jangan kamu
dilalaikan oleh dunia. Lantaran jika seseorang mampu hidup 1000 tahun,
dia tetap akan menuju kematian seperti yang kamu lihat saya sekarang.
Sesungguhnya Allah Taala telah menjanjikan kematian kepada anak Adam.
Oleh itu mereka pasti mati. Manusia yang paling bijak ialah mereka yang
paling taat kepada Tuhannya dan paling banyak melakukan amalan sebagai
persediaan untuk hari kebangkitan. Wassalamualaikum wa Rahmatullah.”
Kemudian Abu ‘Ubaidah berpaling kepada Mu’az bin Jabal “Wahai Mu’az, imamkan mereka.”
Apabila Abu ‘Ubaidah meninggal dunia,
Mu’az pun bangun dan berucap “ Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah
ditimpa kesedihan disebabkan kematian lelaki ini. Demi Allah! Saya tidak
pernah kenal lelaki yang lebih berhati mulia dan jauh daripada hasad
dengki, terlalu cinta dengan mati dan paling menunaikan tanggungjawab
berbanding lelaki ini. Doakanlah kerahmatan untuknya, pasti Allah akan
merahmati kamu semua.”
Abu Ubaidah meningal dunia karena sakit yg di deritanya yaitu penyakit Thaun, Di Jordan, Wilayah Syam. Pada umur 58 Tahun. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar